|
Perisian sumber terbuka mula diperkenalkan pada tahun 1960-an apabila komputer komersial pertama diperkenalkan. Perisian yang disediakan ini adalah percuma. Pengguna boleh berkongsi kod sumber terbuka dengan pengguna lain kerana ia boleh diubahsuai dan diperbaiki. Perisian ini telah mula digunakan di Malaysia pada tahun 2001 iaitu 10 tahun yang lalu setelah beberapa tahun internet digunakan.
Namun begitu, walaupun perisian ini telah lama diperkenalkan di Malaysia, perisian ini masih kurang digunakan disebabkan kurangnya publisiti untuk memperkenalkan perisian sumber terbuka ini kepada umum. Hal ini menyebabkan tidak ramai pengguna yang mengetahui akan kewujudannya walaupun ia sudah lama diperkenalkan. Selain itu, pengguna lebih cenderung untuk menggunakan perisian yang berbayar berbanding perisian sumber terbuka yang sememangnya percuma. Keadaan ini disebabkan pengenalan perisian sumber terbuka yang kurang diketahui oleh orang awam.
Perisian sumber terbuka ini bukanlah bertujuan untuk mendapatkan keuntungan bagi pihak tersebut,tetapi adalah berdasarkan prinsip sosial iaitu untuk berkongsi ilmu pengetahuan ,mempelajari serta membangunkan kemahiran baru. Kajian Ghosh(2004) di negara Bhutan mendapati bahawa negara membangun yang miskin terpaksa membayar jumlah wang yang berkali ganda dari pendapatan negara kasar untuk mendapatkan perisian tulen bagi kegunaan negara tersebut.Dengan menggunakan perisian sumber terbuka(OSS) ini,negara berkenaan dapat menjimatkan pendapatan negara mereka dan digunakan untuk membantu rakyat mereka yang memerlukan.
OSS seharusnya diperkembangkan penggunaannya di Malaysia kerana perisian ini boleh digunakan oleh individu mahupan institusi dan organisasi tertentu seperti syarikat-syarikat awam mahupun swasta.Hal ini akan memberikan nilai tambah yang tinggi kepada syarikat tersebut disamping mengurangkan kos pengurusan syarikat.OSS ini juga adalah setanding dengan perisian yang berbayar seperti Open Office(OSS) adalah serupa dengan Microsoft Office(berbayar). Terdapat lebih daripada 240 OSS yang wujud namun kerana tidak meluasnya publisiti,ramai pengguna yang tidak mengetahui tentang kewujudannya.Antara OSS yang terkenal adalah seperti Linux,Mozilla,Sendmail,dan Open Office. Perisian ini boleh dimuat turun secara percuma di Internet.
Antara kelebihan OSS ini berbanding perisian berbayar terhadap syarikat adalah perpindahan teknologi tanpa kos.Konsep kod sumber terbuka ini membolehkan sesiapa sahaja boleh belajar tentang cara pembangunan perisian tersebut. Selain itu,penggunaan OSS ini dapat mencegah risiko muflis bagi syarikat tersebut.Jika para pengguna menggunakan perisian berbayar,mereka mungkin kehilangan sumber rujukan jika syarikat perisian berbayar tersebut muflis dan mereka juga tidak boleh memastikan pihak yang akan bertanggungjawab terhadap hal ini dan risiko untuk mereka muflis juga tinggi. Tetapi jika pihak pengurusan OSS ini dibubarkan,para pengguna masih boleh menggunakan perisian ini kerana akan ada kumpulan lain yang akan mengambil alih pengurusan perisian ini.
Di samping itu,perisian ini juga harus diperkembangkan di peringkat institusi pengajian di Malaysia kerana terdapat beberapa OSS yang boleh diaplikasikan dalam sistem pendidikan seperti Moodle. Perisian ini menekankan aspek pembelajaran dalam talian dan tidak bermotifkan keuntungan. Ghosh(2004) dalam laporan FLOSS(Free Libre Open Source System) melaporkan bahawa potensi penggunaan sumber terbuka oleh segelintir pakar teknologi dalam membantu membangunkan sumber terbuka telah banyak memberi sumbangan kepada sistem pendidikan.Pembelajaran secara atas talian ini telah dapat diterima dan diguna pakai oleh pelajar dan institusi pendidikan walaupun pada awalnya mereka kurang mengetahui akan teknologi baru ini.
Secara keseluruhannya,terdapat banyak kelebihan dalam penggunaan OSS. Jika pengguna menggunakan perisian OSS ini,mereka tidak perlu menaiktaraf perisian ini. Jika mereka menggunakan perisian berbayar,mereka perlu sentiasa menaiktaraf perisian tersebut supaya mereka dapat terus menggunakannya. Selain itu,OSS ini boleh diubahsuai oleh individu lain mengikut kehendak mereka tanpa perlu meminta kebenaran dan membayar kepada syarikat perisian tersebut. Perisian berbayar boleh diolah namun mereka perlu membayar kepada syarikat tersebut dan meminta kebenaran daripada syarikat perisian tersebut dahulu sebelum melakukannya kerana mereka akan dikenakan saman jika melakukan pengubahsuaian tanpa berbincang dengan syarikat perisian tersebut.
Oleh itu,perisian sumber terbuka perlu diperkembangkan penggunaannya kerana perisian ini mempunyai banyak kelebihan dan perisian ini mampu dimiliki oleh semua golongan.
|
|
0 comments:
Post a Comment